Khamis, 26 Januari 2012

Tingkatkan Usaha Jangan Putus Asa

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وخاتم النبيين وعلى اله وصحبه أجمعين.


قال الله تعالى : فاذا عزمت فتوكل على الله


Maksudnya:”Setelah kamu berazam maka bertawakallah,sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal” .


(سورة ال عمران :159)


Musim peperiksaan hampir ke titik penamatnya selepas kita berhempas pulas dan mengerahkan tenaga untuk mengharungi tempoh ini, tidak kira sama ada pengajian Islam mahupun perubatan. Ini tidak bermakna, tamatnya musim peperiksaan maka tamatlah perjuangan kita sebagai mahasiswa Al-Azhar dalam menuntut ilmu Allah di bumi barakah ini. Terlalu banyak dan mahalnya nilai sebuah ilmu di sini jika kita tidak mengejarnya dan amatlah rugi, jika kita tidak mencuri sedikit masa dari waktu itu untuk kepentingan dan kebahagiaan di akhirat.



Mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian,



Sedari atau tidak imtihan telah mengajar kita erti kehidupan yang sebenar. Hidup yang sementara ini tidak akan rasa nikmatnya jika tidak ada yang dinamakan ujian dan di situlah diri kita menjadi lebih cekal dan tabah dalam menghadapi setiap dugaan yang mencabar. Dari itu, kita akan menjadi lebih bersemangat dan penuh ceria apabila kita cemerlang dan berjaya dalam sesuatu imtihan itu. Ingatlah, imtihan seorang muslim itu tidaklah berhenti di dunia bahkan di akhirat adalah lebih utama. Justeru, adalah kewajipan kita mendoakan agar beroleh kecemerlangan dalam  setiap imtihan yang akan dihadapi.



Dalam menghadapi dugaan dalam perjuangan menuju kejayaan, kita sering menghadapi  pelbagai masalah seperti lemah semangat, cepat berputus asa dan lain-lain lagi, lantas menyekat kita dari berusaha. Oleh itu, mendekatkan diri kita kepada Allah merupakan kekuatan yang penting dalam mencapai cita-cita, iaitu dengan doa dan bertawakal. Dalam firman Allah berbunyi:



يأيها الذين امنوا استعينوا بالصبر والصلوة ان الله مع الصابرين


(سورة البقرة :153)


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.



Sebenarnya perkara yang paling penting adalah ikhlaskan kembali niat di hati dalam menuju cita-cita. Apakah usaha yang ingin dicapai ini untuk kepentingan diri semata atau untuk kepentingan Islam yakni kerana Allah? Jika dapat difahami dalam konteks belajar, adakah kita melakukan segala kerja dan usaha ini semata-mata ingin mendapat gelaran “best student” atau kerana ingin meneroka ilmu Allah lantas menabur kembali bakti kepada yang memerlukannya? Moga kita  tergolong dalam golongan yang sentiasa mendapat rahmat serta petunjuk dari-Nya.



Sahabat seperjuangan sekalian,



Perjuangan masih jauh dan kita tidak mendapat menduga dan menjangka apa yang akan terjadi di masa kelak. Disebabkan itu, persediaan dan bekalan yang secukupnya adalah suatu yang pasti untuk dilengkapi dan dipenuhi. Kefahaman yang mencakupi dalam semua aspek kehidupan dan lapangan serta memahami keperluan dan persekitaran semasa lebih-lebih lagi yang mewarisi tugas para anbiya dan ulama. Seperkara lagi adalah kefahaman yang baik berkenaan dengan fiqh al-aulawiyyat fil Islam agar kita dapat membandingkan sesuatu itu manakah yang terlebih penting di antara yang lain.



Sempena memperingati kelahiran suci nabi Muhammad Sollahualaihi wasallam tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama menghayati sirah perjuangan hidup baginda dalam  menegakkan syiar Islam di muka bumi ini dan memuhasabah diri dalam membentuk peribadi dan syakhsiah yang mulia. Apakah tanggungjawab kita selaku khalifah di bumi Allah ini untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar  sudah tertunai sebagai menyambung syariat perjuangan baginda? Adakah kita masih leka dan lalai dengan nikmat syurga duniawi dalam melaksanakan perintah-Nya dan sunnah Baginda? Sahabat-sahabat, janganlah sekali-kali kita menjadi hamba yang paling rugi di dunia, kerana di dunia inilah semaian yang berharga untuk dibawa di akhirat kelak. Jadilah hamba Allah yang sentiasa patuh dan taat akan segala perintah dan suruhan-Nya supaya beroleh kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.



Akhir kata, manfaatlah waktu dan masa yang terluang ini untuk diisikan dengan perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah untuk diri dan Islam supaya tidak menyesal di kemudian hari. Carilah pengalaman dan luaskanlah pandangan dengan perkara-perkara ilmiah dalam memantapkan thaqafah untuk mendidik jiwa supaya cinta kepada ilmu. Pelihara dan sucikanlah jiwa dengan sifat-sifat mahmudah supaya hati kita mudah ditarbiah dan mentarbiah.



Sekian,wassalam.


“MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH”



Salam Perjuangan,



ADIBAH BINTI JAMAL
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM (HEWI)
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012.