Jumaat, 21 September 2012

AHLAN WASAHLAN KE BUMI ANBIYA'



بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji-pujian dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T,Tuhan semesta alam.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W,para sahabat dan pendukung risalah Islam.

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah,maka mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya,kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju),maka sungguh tetap pahalanya di sisi Allah.Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(An Nisa’,4:100)

Ahlan wasahlan wa marhaban bikum diucapkan kepada seluruh mahasiswa/wi Pengajian Islam,Perubatan mahupun Qiraat yang telah dipilih oleh Allah S.W.T untuk mengembara mencari khazanah ilmu di bumi anbia’,aulia’ dan para syuhada’ ini.Yakinlah bahawa kalian adalah pewaris ulama’ masa hadapan kelak.
“Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang).Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya,”(At Taubah,9:122)

Pertama dan terutama sebagai seorang pelajar yang baru bergelar mahasiswa/wi harus sedar apakah tujuan sebenar kita dijemput oleh Allah S.W.T melihat dunia ini.Allah meletakkan manusia sebaik-baik ciptaan sebagai khalifah untuk menyembah dan beribadah kepadaNya. Maka,proses menjadi mahasiswa/wi antara langkah mencapai gelaran khalifah tersebut.Untuk menjadi mahasiswa yang berpotensi membangun ummah,hendaklah berpegang pada prinsip utama dalam Islam iaitu matlamat yang jelas.Perkara ini perlu dititikberatkan agar matlamat yang jelas mampu membawa mahasiswa ke tahap pemikir atau golongan intelektual yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada ummah dalam apa jua bidang yang diceburi.
Selain itu,dalam arus modenisasi yang semakin mengganas ini,mahasiswa perlu berjaga-jaga dengan pengaruh aliran yang boleh merosakkan aqidah.Perkara ini sangat penting kerana virus ini umpama parasit yang menular tanpa sedar.Perkara inilah yang menjadi penghalang bagi mahasiswa mempraktikkan gaya hidup Islam secara total.

Justeru itu, matlamat yang jelas harus diiringi dengan akhlah Islamiyah.Ini kerana akhlak Islami merupakan pelengkap kepada ilmu dan aqidah mahasiswa Islam.Fahaman dan budaya hidup sebagai mahasiswa Islam harus dibangun dalam diri pada setiap masa dan tempat.Bukankah tamadun Islam membangun seiring pembangunan aqidah yang mantap,ilmu yang tinggi dan akhlak mulia umat Islam sendiri?

Oleh yang demikian,mahasiswa Islam perlu mempersiapkan diri untuk memacu generasi akan datang dengan bekalan aqidah,ilmu dan akhlak yang mantap.Perkara-perkara yang melalaikan tugas sebagai mahasiswa Islam hendaklah dijauhi dan dihindari agar mahasiswa Islam mampu bersaing di persada dunia.Kukuhkan diri dari sudut mental,fizikal,jasmani,emosi,rohani dan juga intelek sebagai bekalan alam kampus ini.

Perbetulkan niat,sentiasa muhasabah diri untuk melihat kelemahan kita disamping memperbaikinya dan menjaga nama baik mahasiswa tanpa membawa masuk anasir negatif ke dalam institusi mahasiswa itu sendiri.Tahniah dan selamat meneruskan perjuangan sebagai mahasiswa di universiti.
Sekian,wassalam.


“MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH”


Salam Perjuangan,



ADIBAH BINTI JAMAL
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM (HEWI)
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012

  

Selasa, 21 Ogos 2012

UCAPAN TAHNIAH DI ATAS KEJAYAAN YANG CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN


Imam Malik bin Anas R.A berkata:
“Yang bernama ilmu itu bukanlah kepandaian atau banyaknya meriwayatkan(sesuatu),melainkan hanyalah nur yang diturunkan Allah SWT ke dalam hati manusia.Adapun bergunanya ilmu itu adalah untuk mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan menjauhkannya dari kesombongan diri”

Secara hakikatnya ilmu itu adalah kalimah-kalimah dari Allah.Tiada seorang makhluk ciptaanNYA mampu menandingi ilmuNYA yang amat luas.

Sesuai dengan firmanNYA:
Katakanlah(Wahai Muhammad),Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku,sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kering kalimah-kalimah Tuhanku,walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya,sebagai bantuan  [Surah Al-Kahfi:109]

Sesungguhnya ilmu yang dianugerahkan kepada manusia hanya sekadar setitik dari air lautan yang luas,namun mampu menjadikan manusia tersebut,angkuh dan sombong dengan kebijaksanaan yang dikurniakan kepadanya.Seharusnya,sebagai seorang alim,semakin tinggi ilmunya,semakin tunduk hatinya kepada Allah SWT.

Di  kesempatan ini,kami barisan kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI) BKPJM sesi 2011/2012 mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua mahasiswa&mahasiswi diatas kejayaan serta kecemerlangan yang diperoleh dalam peperiksaan yang lepas.

Mencatat sejarah diperingkat Johor pada tahun ini, seorang mahasiswi baru iaitu Saudari Ainul Mardiyyah Binti Mohd Zahid memperoleh keputusan peperiksaan dengan pangkat MUMTAZ(cemerlang).Beliau merupakan mahasiswi tahun satu,kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar,Kaherah.

Bagi yang tidak berjaya,pertingkatkan usaha serta jangan sesekali berputus asa.Yakinlah dengan segala janji dan pertolongan Allah.Semoga Allah sentiasa mengurniakan kelebihan dan keistimewaan yang tidak terhingga sebagai ganjaran orang yang bersabar dan beriman dengan qada’ dan qadarNYA.

Bertepatan dengan subtopik di bawah tema pembawakan HEWI pada tahun ini iaitu Akademik Cemerlang Menjana Intelektual Gemilang,suka saya menekankan beberapa item agar tema pada tahun ini berjaya dicapai,antaranya ialah:
1)Memperkasa suasana belajar di dalam kumpulan(study group).
2)Menghadiri kelas-kelas tutorial.
3)Menghadirkan diri ke program-program motivasi kecemerlangan     diri. 
4)Menguasai kemahiran&penggunaan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian.

Semoga usaha yang kita laksanakan ini mampu menatijahkan keputusan yang lebih cemerlang.Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua agar kemenangan yang sedikit ini mampu menguatkan lagi kebersamaan kita di dalam keluarga BKPJM.Susah sama-sama susah,senang  sama-sama senang.BKPJM Keluarga Kita.

“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”

ADIBAH JAMAL
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM(LAJNAH PERANCANG)
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR
SESI 2011/2012.



Isnin, 16 Julai 2012

DUGAAN CABARAN HIDUP, SABAR KAYU UKURNYA






بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji-pujian hanya untuk Allah SWT, Tuhan yang mentadbir dan memberi 1001 warna warni dalam kanvas kehidupan.Selawat dan salam kepada Rasulullah SAW,para sahabat serta para pendukung perjuangan Islam hingga akhir zaman.

Dari Anas radh. meriwayatkan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
"Sesungguhnya besarnya pahala adalah bergantung dengan besarnya ujian atau penderitaan. Dan sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum. Dia akan menguji mereka (dengan penderitaan). Oleh sebab itu, barangsiapa yang redhai ujian Allah, Allah juga akan meredhainya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah juga tidak meredhainya." [HR Tarmizi]

Cabaran atau dugaan adalah keperluan dalam hidup insan kerana keimanan seorang hamba tidak akan sempurna tanpa melalui ujian atau musibah.Bertepatan dengan hadith yang dibawa,Allah sengaja menyembunyikan khazanah amalan iman dari mata kasar insan agar hanya barisan atau pertahanan yang menyemat komitmen yang jitu layak diuji untuk pengurniaan darjat yang lebih tinggi.

Persis seorang pejuang yang gigih menahan tohmahan dan cemuhan, begitu juga kehidupan sebagai pertempuran antara nafsu dan iman.Kesukaran yang melanda menyebabkan pejuang tidak pernah gentar dan berundur dari medan jihad apatah lagi merasa takut kerana dominasi iman yang optimum yang mengawal tindak tanduk seorang pejuang.

Justeru,BKPJM dan PMRAM seiring dan sejalan dalam menggembleng kekuatan dan kesatuan.Tatkala kita diuji dengan pelbagai onak yang memeritkan,ingatlah bahawa Allah itu ada.Allah menguji kita untuk memastikan kesabaran dan redha itu berganda sebesarnya atau sebaliknya.

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat..." [Al-Baqarah, 2:186]

Kadangkala rencah musibah yang mengugat jiwa dirasakan bagai sekadar sia-sia.Namun begitu,ingatlah teman bahawa seorang pejuang tidak akan merasa rugi lantaran janji Allah yang tidak ada tolok bandingnya.Janji Allah itu tidak mampu untuk ditawar oleh sesiapa pun bahkan mereka yang memerangimu tidak mampu untuk mewujudkan keinginan mereka tanpa izin Allah.

Redha dan sabar merupakan aset seorang Muslim tatkala mengharungi pancaroba duniawi. Setiap kali ujian itu dilepasi dengan kesyukuran dan kesabaran maka Allah meletakkan nilai tambah bagi keimanan seorang Muslim. Adapun keimanan itu juga menyingkap hikmah yang tak terduga oleh akal manusia bahkan hikmah itu merupakan satu keperluan dalam landasan hidup kita.  Nikmat ukhuwah dan kebersamaan dalam mengharungi pancaroba adalah sebesar-besar nikmat yang Allah letakkan dalam setiap minit pancarobanya. Maka,bersyukurlah ketika diuji kerana Allah mengurniakan nikmat kekuatan,bersyukurlah ketika mengharungi bahaya kerana Allah mengisyaratkan petunjuk berhati-hati dan bersyukurlah ketika diberi ujian kerana Allah masih sudi memandang kita selaku hambanya.

"Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah:152-153]

Dugaan adalah peringatan.Saat mentaliti kita leka dengan halusinasi duniawi maka dugaan adalah ayat ayat Tuhan yang membawa kita kepadaNya.Maka,bersangka baiklah dengan Allah kerana setiap tindak tanduk kita selaku hambanya tidak pernah terlepas dari pemerhatian Allah Taala.

Berikutan dengan isu arahan untuk mengosongkan pejabat BKPJM di Asrama Johor Thamin, kami di peringkat Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI), bertegas untuk mempertahankannya dan tidak sekali-kali akan menyerah kerana ia adalah hak kami.

Justeru, saya mengharapkan kepada semua ahli BKPJM sentiasa bersiap sedia dengan segala ujian atau tribulasi. Perkukuhkan lagi ikatan ukhuwah antara kita dan berusahalah untuk mempertingkat amalan ruhiyyah kita supaya menjadi pejuang agama ALLAH yang tegar&berani lebih-lebih lagi dalam mengadapi madrasah tarbiah ramadhan.Ingatlah sahabat-sahabat,kesatuan ini adalah tanggungjawab kita selaku ahlinya, moga-moga kesatuan BKPJM yang sudah terbina dari dahulu hingga sekarang, tidak sewenang-wenangnya diruntuhkan. Sekian,wassalam.


"KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN PEMANGKIN KESATUAN"
“MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH”



Salam Perjuangan,

ADIBAH BINTI JAMAL 
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM (HEWI) 
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012



Khamis, 26 Januari 2012

Tingkatkan Usaha Jangan Putus Asa

بسم الله الرحمن الرحيم


الحمد لله رب العالمين والعاقبة للمتقين ولا عدوان الا على الظالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وخاتم النبيين وعلى اله وصحبه أجمعين.


قال الله تعالى : فاذا عزمت فتوكل على الله


Maksudnya:”Setelah kamu berazam maka bertawakallah,sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal” .


(سورة ال عمران :159)


Musim peperiksaan hampir ke titik penamatnya selepas kita berhempas pulas dan mengerahkan tenaga untuk mengharungi tempoh ini, tidak kira sama ada pengajian Islam mahupun perubatan. Ini tidak bermakna, tamatnya musim peperiksaan maka tamatlah perjuangan kita sebagai mahasiswa Al-Azhar dalam menuntut ilmu Allah di bumi barakah ini. Terlalu banyak dan mahalnya nilai sebuah ilmu di sini jika kita tidak mengejarnya dan amatlah rugi, jika kita tidak mencuri sedikit masa dari waktu itu untuk kepentingan dan kebahagiaan di akhirat.



Mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian,



Sedari atau tidak imtihan telah mengajar kita erti kehidupan yang sebenar. Hidup yang sementara ini tidak akan rasa nikmatnya jika tidak ada yang dinamakan ujian dan di situlah diri kita menjadi lebih cekal dan tabah dalam menghadapi setiap dugaan yang mencabar. Dari itu, kita akan menjadi lebih bersemangat dan penuh ceria apabila kita cemerlang dan berjaya dalam sesuatu imtihan itu. Ingatlah, imtihan seorang muslim itu tidaklah berhenti di dunia bahkan di akhirat adalah lebih utama. Justeru, adalah kewajipan kita mendoakan agar beroleh kecemerlangan dalam  setiap imtihan yang akan dihadapi.



Dalam menghadapi dugaan dalam perjuangan menuju kejayaan, kita sering menghadapi  pelbagai masalah seperti lemah semangat, cepat berputus asa dan lain-lain lagi, lantas menyekat kita dari berusaha. Oleh itu, mendekatkan diri kita kepada Allah merupakan kekuatan yang penting dalam mencapai cita-cita, iaitu dengan doa dan bertawakal. Dalam firman Allah berbunyi:



يأيها الذين امنوا استعينوا بالصبر والصلوة ان الله مع الصابرين


(سورة البقرة :153)


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.



Sebenarnya perkara yang paling penting adalah ikhlaskan kembali niat di hati dalam menuju cita-cita. Apakah usaha yang ingin dicapai ini untuk kepentingan diri semata atau untuk kepentingan Islam yakni kerana Allah? Jika dapat difahami dalam konteks belajar, adakah kita melakukan segala kerja dan usaha ini semata-mata ingin mendapat gelaran “best student” atau kerana ingin meneroka ilmu Allah lantas menabur kembali bakti kepada yang memerlukannya? Moga kita  tergolong dalam golongan yang sentiasa mendapat rahmat serta petunjuk dari-Nya.



Sahabat seperjuangan sekalian,



Perjuangan masih jauh dan kita tidak mendapat menduga dan menjangka apa yang akan terjadi di masa kelak. Disebabkan itu, persediaan dan bekalan yang secukupnya adalah suatu yang pasti untuk dilengkapi dan dipenuhi. Kefahaman yang mencakupi dalam semua aspek kehidupan dan lapangan serta memahami keperluan dan persekitaran semasa lebih-lebih lagi yang mewarisi tugas para anbiya dan ulama. Seperkara lagi adalah kefahaman yang baik berkenaan dengan fiqh al-aulawiyyat fil Islam agar kita dapat membandingkan sesuatu itu manakah yang terlebih penting di antara yang lain.



Sempena memperingati kelahiran suci nabi Muhammad Sollahualaihi wasallam tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama menghayati sirah perjuangan hidup baginda dalam  menegakkan syiar Islam di muka bumi ini dan memuhasabah diri dalam membentuk peribadi dan syakhsiah yang mulia. Apakah tanggungjawab kita selaku khalifah di bumi Allah ini untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar  sudah tertunai sebagai menyambung syariat perjuangan baginda? Adakah kita masih leka dan lalai dengan nikmat syurga duniawi dalam melaksanakan perintah-Nya dan sunnah Baginda? Sahabat-sahabat, janganlah sekali-kali kita menjadi hamba yang paling rugi di dunia, kerana di dunia inilah semaian yang berharga untuk dibawa di akhirat kelak. Jadilah hamba Allah yang sentiasa patuh dan taat akan segala perintah dan suruhan-Nya supaya beroleh kejayaan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.



Akhir kata, manfaatlah waktu dan masa yang terluang ini untuk diisikan dengan perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah untuk diri dan Islam supaya tidak menyesal di kemudian hari. Carilah pengalaman dan luaskanlah pandangan dengan perkara-perkara ilmiah dalam memantapkan thaqafah untuk mendidik jiwa supaya cinta kepada ilmu. Pelihara dan sucikanlah jiwa dengan sifat-sifat mahmudah supaya hati kita mudah ditarbiah dan mentarbiah.



Sekian,wassalam.


“MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH”



Salam Perjuangan,



ADIBAH BINTI JAMAL
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM (HEWI)
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012.