Selasa, 25 Mac 2014

UCAPTAMA TEMA PEMBAWAAN KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR (HEWI BKPJM) 2013/2014





Assalamu a'laikum.

       Syukur dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T di atas segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam dihamparkan ke atas Rasulullah S.A.W junjungan tercinta, buat ahli keluarga Baginda S.A.W serta para sahabat yang setia mendokong risalah nabawiah.

Pada tahun ini, HEWI BKPJM tetap meneruskan langkah perjuangan semata-mata untuk mendokong galas dan amanah yang telah diberikan di dalam pimpinan ini. Hakikatnya, pentaklifan yang diberikan ini bukanlah suatu kemuliaan tetapi suatu pentaklifan untuk mengajar untuk mengenal erti perjuangan yang sebenar sebagaimana yang telah di bawa oleh junjungan mulia Nabi Muhamad S.A.W.

Bagi mengukuhkan survival dan kesinambungan HEWI BKPJM, agenda diteruskan lagi pada pentadbiran sesi ini dengan bertemakan “MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI”.

Sidang hadirin sekalian,
        
                        Dengan bertemakan “Memposisi Mahasiswi Berintegriti, Membentuk Generasi Bersinergi” yang telah di pilih pada sesi ini besarlah harapan diperingkat HEWI BKPJM menginginkan mahasiswi yang memiliki jatidiri yang tidak sewenang-wenangnya dikuasai oleh ideologi-ideologi barat, bahkan dapat membentuk generasi mahasiswi yang mempunyai keutuhan dan kekuatan memegang prinsip-prinsip Islam yang sebenar.

                        Melihatkan kepada fenomena pada hari ini, peranan muslimah di dalam era globalisasi tidak dapat disangkal lagi pergerakannya adakala seiring dengan pemuda. Justeru, HEWI BKPJM begitu optimis menyeru kepada seluruh mahasiswi agar sama-sama melakukan transformasi keperibadian muslimah berdigniti dan menggembleng kembali kekuatan yang ada bagi menjawab segala tohmahan dan cemuhan yang seringkali dilemparkan terhadap mahasiswi.

            Hadirin yang dirahmati Allah,

                        Pembawaan HEWI BKPJM sesi ini yang bertemakan “Memposisi Mahasiswi Berintegriti, Membentuk Generasi Bersinergi” di bawahnya terdapat beberapa subtopik, antaranya:

1.      MEMUPUK KEFAHAMAN ISLAM YANG SEBENAR

       Fokus utama bagi subtopik ini adalah hendak melahirkan mahasiswi yang memiliki kefahaman Islam yang jelas tentang kesyumulan Islam. Fenomena pada zaman kini, masalah aqidah dan ideologi-ideologi negative yang dibawa oleh barat menular hingga ke segenap sudut kehidupan masyarakat muslim.

       Kefahaman Islam yang sebenar merupakan tunjang utama kepada pembentukan jiwa-jiwa individu muslim ke arah ketaqwaan kepada Allah. Penerapan konsep pendidikan yang sebenar mampu melahirkan generasi yang sanggup melaksanakan gerak kerja Islam bersama pimpinan tanpa sebarang alasan.

       Kami diperingkat HEWI BKPJM mahu mahasiswi lebih membuka minda dalam memahami Islam dengan lebih jelas agar tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang becanggah dengan syariat Islam.

            Sahabat dan sahabiah yang dikasihi sekalian,

2.      MEMAKSIMUMKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK DAN THAQAFAH

       Firman Allah S.W.T di dalam kitabNya:

Bermaksud: “Allah SWT mengangkat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang menuntut ilmu dengan beberapa darjat”

       Setiap insan yang bergelar mahasiswa tentunya mahukan kejayaan yang cemerlang dalam akademik, namun kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih dan semangat yang jitu lahir daripada diri mahasiswi itu sendiri. Di sini kami menekankan aspek keilmuan yang dapat meningkatkan pencapaian akademik semua mahasiswi dan menambahkan thaqafah dikalangan mahasiswi.

       Bagi memastikn kualiti kecemerlangan akademik ahli meningkat dengan menerapkan  konsep pembelajaran yang teratur dan bermotivasi juga adalah satu usaha untuk menggapai kecemerlangan. Justeru, BKPJM mengambil langkah dengan menyusun kelas-kelas tutorial, mewujudkan "study group" dan mengadakan program-program yang berbentuk motivasi kearah kecemerlangan.

       Mendepani polimik pemikiran masyarakat Malaysia yang pelbagai, dalam memahami ilmu Islam menuntut kita selaku mahasiswi Islam di Mesir, bagi mendalami ilmu agama dengan baik. Selain memantapkan ilmu kuliah, mahasiswi perlulah bijak menguasai ilmu turathi dan kontemporari bagi menambah ilmu sampingan sebagai bekalan sebelum terjun ke medan Malaysia. Disamping, melahirkan mahasiswi yang merupakan pakar rujuk khususnya ilmu yang berkaitan dengan fiqh wanita.

          Hadirin penjana wadah sekalian,

3.        MELAHIRKAN KEPERIBADIAN AZHARIAH YANG BERKUALITI

       Sebagai mahasiswi dari acuan Universiti Al-Azhar, perlulah ada keperibadian yang beridentiti mahasiswi azhariah yang menjana keizzahan mahasiswi Islam. Islam juga amat menitik beratkan nilai moral dan akhlak yang tinggi dalam setiap peribadi seorang muslim yang sejati.


        Aspek utama yang ditekankan di sini adalah akhlak dan kemahiran. Sebagaimana sabda Baginda s.a.w:
                                                           
انما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق                                                      

Maksudnya “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak”

       Sudah jelas bagi kita, ikutan kita kepada Baginda bukan sahaja kepada akhlak sesama manusia, bahkan lebih dari itu. Antaranya, akhlak muslim selaku pimpinan, akhlak muslim apabila dipimpin, akhlak dalam berorganisasi, akhlak bermasyarakat dan banyak lagi penerapan nilai akhlak yang diterapkan oleh Rasulullah s.a.w.

       Realiti kita di Mesir sedah cukup membuktikan bahawa,  terdapat masalah ikhtilat tidak syarie, penyalahguan media elektronik, permasalahan akhlak, konflik jati diri dan perselisihan dikalangan ahli semakin menjadi-jadi.

        Dalam mendepani era globalisasi, keilmuan, kemahiran dan "soft-skills" merupakan elemen yang sangat penting dalam menterjemahkan keilmuan dan thaqafah yang telah digali. Disamping itu, kemahiran tanpa thaqafah yang mantap umpama senjata yang tiada peluru. Kedua-dua elemen mempunyai keterikatan yang sangat kuat.

     Selain itu, BKPJM menghamparkan pelbagai medium mengikut kepelbagaian minat dan pengkhususan bagi mahasiswi dalam pelbagai bidang.

4.      MENGUKUHKAN SENERGI UKHUWAH MELALUI KEBERSAMAAN BKPJM

Siang hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

         Aspek utama yang kami fokuskan di sini adalah keterikatan ukhuwah. Meskipun diterjang dengan pelbagai badai dan ujian, namun ukhuwah yang dibina atas dasar aqidah tidak akan sesekali goyah dan rapuh.

       Ianya bertujuan mengeratkan ikatan silaturrahim dan menerapkan semangat kerjasama diantara ahli BKPJM itu sendiri. Dengan mewujudkan rasa kebersamaan BKPJM, agar antara kita dapat menimbulkan satu sifat prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling kita.

       Justeru itu, semua ahli HEWI BKPJM mestilah diperkukuhkan dengan ukhuwah islamiyah yang sejati, mahabbah serta menjadikan konsep ziarah  menziarahi sebagai satu agenda terpenting untuk memantapakan interaksi dan komunikasi sesama kita.


            PENUTUP

            Sidang hadirin harapan ummah sekalian,
            Berkata Saidina Ibnu Abbas:   

             ليس للمؤمنين راحة دؤن لقاء الله

  “Tiada kerehatan bagi orang beriman melainkan setelah bertemu dengan Allah”

                 Merenungi kalimah ulama’ agung tersebut, jelas terbukti kepada kita bahawa perjuangan dalam menegakkan syiar Islam yang mulia adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab bersama walau di mana posisi kita diletakkan. Medium terbaik yang dihamparkan kepada seluruh mahasisi Islam di perlembahan nil ini seharusnya kita gunakan semaksimum mungkin sebagai platform ke arah merealisasikan amanah Allah selaku hambaNYA dan khalifah Allah di muka bumi ini.

       Sebagai sebuah gerakan mahasiswi di bumi Mesir ini bertanggungjawab untuk berperanan dalam membentuk keperibadian mahasiswi Islam yang mampu menghasilkn seorang individu muslim yang layak menaikkan keizzahan umat Islam itu sendiri. Justeru, saya menyeru diri saya dan sidang hadirin sekalian agar menjunjung dan meralisasikan tema dan pembawaan yang dibawa dalam membentuk generasi bersinergi.

      Bersama segenggam harapan, seiring kita mendoakan agar tema ini bakal terealisasi dengan paduan tenaga kita bersama disamping mengharap pertolongan dariNYA.

      Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


“MEMPOSISI MAHASISWI BERINTEGRITI, 
MEMBENTUK GENERASI BERSINERGI”



 NURHASLINDA BINTI GAZALI
 KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM (HEWI)
 BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2013/2014