Jumaat, 21 September 2012

AHLAN WASAHLAN KE BUMI ANBIYA'



بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji-pujian dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T,Tuhan semesta alam.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W,para sahabat dan pendukung risalah Islam.

“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah,maka mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya,kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju),maka sungguh tetap pahalanya di sisi Allah.Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(An Nisa’,4:100)

Ahlan wasahlan wa marhaban bikum diucapkan kepada seluruh mahasiswa/wi Pengajian Islam,Perubatan mahupun Qiraat yang telah dipilih oleh Allah S.W.T untuk mengembara mencari khazanah ilmu di bumi anbia’,aulia’ dan para syuhada’ ini.Yakinlah bahawa kalian adalah pewaris ulama’ masa hadapan kelak.
“Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang).Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya,”(At Taubah,9:122)

Pertama dan terutama sebagai seorang pelajar yang baru bergelar mahasiswa/wi harus sedar apakah tujuan sebenar kita dijemput oleh Allah S.W.T melihat dunia ini.Allah meletakkan manusia sebaik-baik ciptaan sebagai khalifah untuk menyembah dan beribadah kepadaNya. Maka,proses menjadi mahasiswa/wi antara langkah mencapai gelaran khalifah tersebut.Untuk menjadi mahasiswa yang berpotensi membangun ummah,hendaklah berpegang pada prinsip utama dalam Islam iaitu matlamat yang jelas.Perkara ini perlu dititikberatkan agar matlamat yang jelas mampu membawa mahasiswa ke tahap pemikir atau golongan intelektual yang lebih tinggi dan memberi manfaat kepada ummah dalam apa jua bidang yang diceburi.
Selain itu,dalam arus modenisasi yang semakin mengganas ini,mahasiswa perlu berjaga-jaga dengan pengaruh aliran yang boleh merosakkan aqidah.Perkara ini sangat penting kerana virus ini umpama parasit yang menular tanpa sedar.Perkara inilah yang menjadi penghalang bagi mahasiswa mempraktikkan gaya hidup Islam secara total.

Justeru itu, matlamat yang jelas harus diiringi dengan akhlah Islamiyah.Ini kerana akhlak Islami merupakan pelengkap kepada ilmu dan aqidah mahasiswa Islam.Fahaman dan budaya hidup sebagai mahasiswa Islam harus dibangun dalam diri pada setiap masa dan tempat.Bukankah tamadun Islam membangun seiring pembangunan aqidah yang mantap,ilmu yang tinggi dan akhlak mulia umat Islam sendiri?

Oleh yang demikian,mahasiswa Islam perlu mempersiapkan diri untuk memacu generasi akan datang dengan bekalan aqidah,ilmu dan akhlak yang mantap.Perkara-perkara yang melalaikan tugas sebagai mahasiswa Islam hendaklah dijauhi dan dihindari agar mahasiswa Islam mampu bersaing di persada dunia.Kukuhkan diri dari sudut mental,fizikal,jasmani,emosi,rohani dan juga intelek sebagai bekalan alam kampus ini.

Perbetulkan niat,sentiasa muhasabah diri untuk melihat kelemahan kita disamping memperbaikinya dan menjaga nama baik mahasiswa tanpa membawa masuk anasir negatif ke dalam institusi mahasiswa itu sendiri.Tahniah dan selamat meneruskan perjuangan sebagai mahasiswa di universiti.
Sekian,wassalam.


“MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH”


Salam Perjuangan,



ADIBAH BINTI JAMAL
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM (HEWI)
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2011/2012