Selasa, 21 Ogos 2012

UCAPAN TAHNIAH DI ATAS KEJAYAAN YANG CEMERLANG DALAM PEPERIKSAAN


Imam Malik bin Anas R.A berkata:
“Yang bernama ilmu itu bukanlah kepandaian atau banyaknya meriwayatkan(sesuatu),melainkan hanyalah nur yang diturunkan Allah SWT ke dalam hati manusia.Adapun bergunanya ilmu itu adalah untuk mendekatkan manusia kepada Allah SWT dan menjauhkannya dari kesombongan diri”

Secara hakikatnya ilmu itu adalah kalimah-kalimah dari Allah.Tiada seorang makhluk ciptaanNYA mampu menandingi ilmuNYA yang amat luas.

Sesuai dengan firmanNYA:
Katakanlah(Wahai Muhammad),Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku,sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kering kalimah-kalimah Tuhanku,walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya,sebagai bantuan  [Surah Al-Kahfi:109]

Sesungguhnya ilmu yang dianugerahkan kepada manusia hanya sekadar setitik dari air lautan yang luas,namun mampu menjadikan manusia tersebut,angkuh dan sombong dengan kebijaksanaan yang dikurniakan kepadanya.Seharusnya,sebagai seorang alim,semakin tinggi ilmunya,semakin tunduk hatinya kepada Allah SWT.

Di  kesempatan ini,kami barisan kepimpinan Hal Ehwal Wanita Islam(HEWI) BKPJM sesi 2011/2012 mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua mahasiswa&mahasiswi diatas kejayaan serta kecemerlangan yang diperoleh dalam peperiksaan yang lepas.

Mencatat sejarah diperingkat Johor pada tahun ini, seorang mahasiswi baru iaitu Saudari Ainul Mardiyyah Binti Mohd Zahid memperoleh keputusan peperiksaan dengan pangkat MUMTAZ(cemerlang).Beliau merupakan mahasiswi tahun satu,kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar,Kaherah.

Bagi yang tidak berjaya,pertingkatkan usaha serta jangan sesekali berputus asa.Yakinlah dengan segala janji dan pertolongan Allah.Semoga Allah sentiasa mengurniakan kelebihan dan keistimewaan yang tidak terhingga sebagai ganjaran orang yang bersabar dan beriman dengan qada’ dan qadarNYA.

Bertepatan dengan subtopik di bawah tema pembawakan HEWI pada tahun ini iaitu Akademik Cemerlang Menjana Intelektual Gemilang,suka saya menekankan beberapa item agar tema pada tahun ini berjaya dicapai,antaranya ialah:
1)Memperkasa suasana belajar di dalam kumpulan(study group).
2)Menghadiri kelas-kelas tutorial.
3)Menghadirkan diri ke program-program motivasi kecemerlangan     diri. 
4)Menguasai kemahiran&penggunaan Bahasa Arab dalam kehidupan seharian.

Semoga usaha yang kita laksanakan ini mampu menatijahkan keputusan yang lebih cemerlang.Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua agar kemenangan yang sedikit ini mampu menguatkan lagi kebersamaan kita di dalam keluarga BKPJM.Susah sama-sama susah,senang  sama-sama senang.BKPJM Keluarga Kita.

“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
“Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”

ADIBAH JAMAL
KETUA HAL EHWAL WANITA ISLAM(LAJNAH PERANCANG)
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR
SESI 2011/2012.