Rabu, 23 November 2011

Ucaptama Ketua HEWI BKPJM Sesi 2011/2012


  MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله وكفى والصلاة والسلام على حبيبنا المصطفى وعلى اله وصحبه ومن اهتدى بسنته الى يوم لا ريب فيه اللهم لك الحمد كله ولك الملك كله واليك يرجع الامر كله نسئلك من الخير كله ونعوذبك من الشر كله.
قال الله تعالى في كتابه العزيز:
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءامن أهل الكتاب لكان خير لهم منهم المؤمنون وأكثرهم الفاسقون
سورة ال عمران:110

PENDAHULUAN

Alhamdulillah,setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas segala limpah rahmat dan ‘inayahNya. Selawat dan salam buat Rasul terulung Nabi Muhammad S.A.W, keluarga Baginda, para sahabat,penyambung risalah dakwah Islamiyah. amma ba’du.

Pada tahun ini,HEWI BKPJM mengorak langkah dalam menyambung perjuangan,membawa sekalian ahli untuk terus istiqomah menjunjung aspirasi dakwah dan kepimpinan.Walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan kenangan pahit manis,tidak bermakna kami lemah malah semakin kuat dan bersemangat dalam menjayakan  tema pembawakan HEWI pada tahun ini iaitu “Menyemat Izzah Meribat Ukhuwah”.

Dalam pelaksanaan pembawakan pada tahun ini,bukanlah tanggungjawab ini hanya terpundak di bawah barisan kepimpinan sahaja,malah tanggungjawab ini terhadap semua ahli dalam mengangkat tema selaras dengan dasar iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.Dengan itu,dapatlah kita melahirkan kombinasi pimpinan dan ahli mahasisiwi yang berdigniti,berkaliber dan berwawasan tinggi.

KEMANTAPAN IMAN TUNJANG UTAMA

وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون
 سورة الذاريات: 56

"Tidaklah Aku (Allah) menjadikan sekalian jin dan manusia melainkan semata-mata untuk beribadat kepada-Ku"

Semua makhluk yang diciptakan oleh ALLAH di muka bumi ini adalah semata-mata untuk mengabdikan diri kepadaNYA dalam mencari keredhaanNYA demi mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.Konsep ‘ubudiah yang dijelaskan oleh para ulama’ adalah merangkumi dalam setiap gerak laku muslim di muka bumi ini.Ia diiktibarkan sebagai ibadah jika segalanya dikembalikan kepada ALLAH.

Justeru, dalam melahirkan generasi yang beriman, beramal dengan Al-quran dan As-Sunnah, hendaklah kita selaku hambaNYA mentaati segala perintahNYA dan menjauhi segala laranganNYA. Kekuatan tarbiah diri dalam membentuk generasi berwawasan amat penting untuk  membantu manusia dalam memahami, meneliti,mengamalkan segala tuntutan-tuntutan yang telah disyariatkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala.

Sayugialah sebagai mahasiswi yang berada di bumi Mesir ini, untuk merebut peluang keemasan yang ada bagi melatih dan membentuk jiwa hamba kepada ALLAH Subhanahu Wata’ala. Kesedaran tentang peranan sebagai seorang hamba akan mampu melahirkan hati-hati yang takut kepada ALLAH untuk melakukan sebarang maksiat. Kesedaran itulah yang mahu disuburkan di dalam hati setiap mahasiswa/wi di bumi Mesir ini.

Natijahnya, konsep taubat yang sebenar-benarnya kepada ALLAH di atas segala dosa yang dilakukan. Penyucian jiwa inilah antara jalan bagi meningkatkan keimanan kepada ALLAH. Seterusnya, segala masalah-masalah hisbah dan sosial seperti ikhtilat tidak syarie, perbuatan menghampiri zina, keruntuhan akhlak dan sebagainya dapat dielakkan. Dengan itu, wujudlah biah solehah yang menjamin kebahagiaan hidup seseorang insan tersebut. Di samping itu juga, kepentingan dakwah fardiah dalam menyampaikan mesej Islam, dapat menarik perhatian untuk beramal dan mengamalkannya. Sehubungan dengan itu, keizzahan Islam terserlah.

Antara agenda  yang perlu digerakkan:

  1. Menjayakan peranan Muzakarah Berkelompok 
  2. Menggerakkan segala jentera Unit Biah Solehah 
  3. Gerak gempur Unit Hisbah 
  4. Mempergiatkan gerak kerja Unit Bait Muslim 
  5. Menjalankan dakwah fardiah

Justeru kerjasama dan peranan dari semua pihak amat penting dalam meningkatkan mutu tarbiah dan operasi tindak amar makruf,nahi mungkar dijalankan tanpa mengira kedudukan masing-masing. Tarbiah dan amal yang jitu merupakan makanan utama rohani dalam membentuk insan yang bertaqwa. Namun, pergantungan kepada Allah S.W.T perlu diletakkan di puncak tertinggi dalam menjalankan agenda tarbiah dan amal ini.

AKADEMIK CEMERLANG MENJANA INTELEKTUAL GEMILANG

يرفع الله ءامنوا منكم واللذين اوتوا العلم درجات
“Allah SWT mangangkat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang menuntut ilmu dengan beberapa darjat”

Universiti Al-Azhar adalah salah satu universiti yang terulung  yang telah melahirkan generasi ulama’ rabbani. Khazanah ilmu yang terdapat padanya menjadi simbolik kemegahan umat Islam. Kebanjiran mahasiswa/wi di Perlembahan Nil merupakan peluang yang terbaik bagi membentuk generasi cemerlang dari sudut akademik mahupun syakhsiah yang unggul.

Kecemerlangan dalam bidang akademik merupakan satu keperluan dan tuntutan selaku seorang mahasiswa.Sistem pembelajaran dan suasana yang berbeza di Mesir memerlukan usaha dan ketekunan yang tinggi daripada semua mahasiswa/wi. Oleh itu, konsep pembelajaran yang teratur dan bermotivasi adalah satu usaha untuk mencapai kejayaan. BKPJM  memandang serius hal ini lantas mengambil langkah mewujudkan study group, menyusun kelas-kelas tutorial dan mengadakan program berbentuk motivasi kearah kecemerlangan akademik. BKPJM akan terus menjalankan “Smart Skor” bagi meneruskan agenda kecemerlangan akademik.

Kelemahan dalam penguasaan bahasa Al-Quran merupakan satu hakikat  yang perlu kita sedari. Sebahagian daripada kita masih tidak mampu menguasai ilmu asas bahasa arab secara baik. Bukankah perkara tersebut merugikan kita selaku penuntut ilmu di tanah arab ini? Dengan memperkasakan penggunaan bahasa arab dalam setiap teks ucapan ketika mempengerusikan majlis dan menjayakan hari Jumaat adalah hari berbahasa arab untuk menangani kelemahan ini lantas menafikan tohmahan  yang sering mengatakan tentang kelemahan berbahasa arab dan penghuffaz di kalangan azhariah.

MELAHIRKAN SYAKHSIAH AZHARIAH YANG BERKUALITI

Dunia hari ini menyaksikan perkembangan pesat dalam semua bidang.Berkata Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam kitabnya “Painting Islam as a New Enemy” mengatakan bahawa kuasa besar dunia sedang mengalihkan serangan mereka terhadap umat islam selepas termeterinya era perang dingin.Inilah satu bentuk cabaran yang memerlukan kepada sensitiviti kita selaku umat Islam dan azhariah khususnya. Mahasiswa adalah pewaris kepimpinan negara malahan juga adalah agen kepada perubah masyarakat di luar sana. Azhariah adalah sayap kiri perjuangan sepatutnya merasakan tanggungjawab bersama untuk memimpin ummah. Oleh itu, sebagai seorang azhariah, perlu kepada pengukuhan ilmu, thaqafah, jatidiri dari sudut rohani dan jasmani dan juga penguasaan maklumat serta isu semasa. Selain itu, kebobrokan akhlak masyarakat hari ini juga menuntut kepada golongan azhariah yang bersikap tegas dengan amar makruf nahi mungkar dan juga berperanan dalam membentuk ummah yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan juga sunnah.

Oleh itu, sebagai azhariah kita harus menggembleng seluruh tenaga agar amanah ilmu yang diperolehi terpelihara dengan diterjemah secara praktikal dan memanipulasi segala ilmu yang ada dengan bijaksana. Justeru, berbekal ilmu dan keimanan yang tulen serta jati diri seorang muslimah, azhariah perlu terus maju dan pantas kehadapan sebaris dengan para ilmuan tulen serta meningkatkan kualiti azhariah itu sendiri bagi mendepani masalah dunia yang semakin mencabar.

KEUTUHAN UKHUWAH MENJANA KEBERSAMAAN BKPJM

واعتصوا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا
سورة ال عمران:103

"Berpeganglah dengan tali Allah dan janganlah berpecah-belah"

Kesatuan ukhwah merupakan kebersamaan yang wujud dalam komuniti mahasiswi terutama bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam gerakan. Sehubungan itu, tautan tersebut terjalin padu dengan tiga elemen asas yang perlu dipupuk kemudian dibentuk menjadi acuan mahasiswi yang berkredibiliti dan berketrampilan. Elemen iman, amal soleh dan saling menasihati merupakan tunjang memperbaiki ikatan hari ini. Justeru terapan iman sebagai tunjang dalam menjalin sesuatu hubungan tidak hanya ketika bertemu bahkan dipraktikkan dalam kehidupan mahasiswi itu dengan pelbagai terapan rohani disamping syakhsiah yang diperhalusi dengan adab dan amal. Amal soleh juga menjadi agenda dakwah fardiah yang berkesan bagi memantapkan keizzahan mahasiswi itu sendiri. Apabila sakit satu anggota maka akan sakitlah anggota-anggota yang lain. Maka peranan ukhuwah paling besar dan ampuh dalam memartabatkan dan mengembalikan keizzahan wanita di sisi Islam.

PENUTUP 

Bersama harapan yang memugar ini, HEWI BKPJM memilih tema “MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH” sebagai momentum untuk kita bekerja dalam satu pasukan dan semangat kerjasama mengungguli survival BKPJM untuk terus ampuh di bumi para anbiya’. Sebarang usaha yang cuba menyalakan api perpecahan di kalangan ahli jangan di pandang enteng bahkan memerlukan penyelesaian seberapa segera melalui peranan semua pihak. Di sinilah sensitiviti kita perlu dijana. Bukan sekadar lantunan kalam bahkan lebih menuntut untuk diadaptasikan. Kita tidak mahu ia hanya tinggal retorik yang diulang-ulang semata-mata dari tahun ke tahun tanpa suatu tindakan yang semaksimum mungkin daripada kita.

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih kepada semua.

MENYEMAT IZZAH MERIBAT UKHUWAH

Adibah Binti Jamal
Ketua Hal Ehwal Wanita Islam
Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir
Sesi 2011/2012.